Friday, August 28, 2009

Sayangi kawan..kasihi teman

Dalam hidup ni ..kawan amat penting..kawan tu pula banyak bentuk ragamnya..yang banyak kawan waktu senang..namun begitu..berkawanlah dengan seribu orang..tapi berseterulah dengan Syaitan yang mengajak kita melakukan kejahatan
MENJADI sahabat yang positif dalam kehidupan, memerlukan satu tindakan dari dalam ke luar agar ia menjadi sebahagian tabiat hidup yang berkekalan.

Sebagaimana kita memerlukan seseorang menjadi sahabat, teman mahupun kenalan yang baik, individu-individu lain juga mempunyai pemikiran yang sama untuk memilikinya. Persoalannya, adakah kita telah menjadi sahabat yang positif sebelum itu?

Sahabat yang positif mempunyai intelek yang terpuji, setelah bertindak mengikut pendekatan manusia yang mempercayai Allah dan menyedari sifat-sifat Tuhan, yang sentiasa melimpahkan rahmat dan kasih sayang kepada jiwa para hamba-Nya.

Sifat sahabat positif dalam bayangan mukmin disebutkan oleh Rasulullah dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh An-Nu’man Ibn Basher dalam Sahih Bukhari: Perumpamaan mukmin yang berkasih sayang seperti tubuh badan, jika sakit salah satunya, maka sakitlah keseluruhannya.

Menjadi sekukuh bangunan yang saling menyokong antara satu sama lain, adalah gambaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad dalam pengamalan etika persahabatan mukmin.

Seharusnya, dari masa ke masa keserasian roh dan minda perlu dipupuk dengan membina banyak persefahaman dan kerjasama dengan mengenepikan kepentingan peribadi, yang hanya menguntungkan satu pihak dan menindas pihak lain.

Abul-Barakaat Badrud-Deen al-Ghazzee memberi saranan-saranan yang baik bagaimana hendak menjadi rakan yang berpengaruh dan positif terhadap diri dan orang lain.

* Berlaku baik terhadap diri dan orang lain.

Sentiasa berlaku baik terhadap orang lain sebagaimana dalam sebuah hadis riwayat Usamah Ibn Shareek berkenaan saranan Nabi Muhammad ketika ditanya:

“Apakah pemberian terbaik oleh seorang manusia?'' Jawabnya: “Perbuatan yang baik.” (Riwayat Tabrani)

* Memberi pandangan yang baik.
Seboleh-bolehnya cuba untuk memberi gambaran dan imej yang baik terhadap rakan-rakan dan meletakkan kelebihan dan kebaikannya melebihi perbuatan buruknya.

Ia sebagaimana nasihat Ibnu

Maazin: “Orang beriman mencari alasan yang baik terhadap saudaranya, orang munafik mencari-cari kesalahan saudaranya.”

* Bentuk jiwa persahabatan mukmin kerana Allah.

Manusia yang membentuk tali

persahabatan kerana Allah, sentiasa mencari ruang untuk memotivasi

dirinya ke arah kebaikan bersama-sama.

Persahabatan positif merupakan ibadah dan merupakan pelaburan jangka panjang di akhirat.
* Fahami bahawa setiap kelebihan adalah rezeki Tuhan.

Elakkan rasa dengki dan tidak berpuas hati terhadap kelebihan orang lain. Jadikan kelebihan tersebut sebagai sumber untuk dipelajari dan elakkan diri daripada terdorong mencari jalan menyusahkan orang lain.

Kelebihan diri harus dikongsi dengan meletakkan niat tidak ada daya yang memberi kelebihan tersebut melainkan Allah.

Sabda Rasulullah: Janganlah kamu berhasad dengki antara satu sama lain. (Riwayat Bukhari)

* Timbulkan rasa malu untuk berkelakuan kurang elok di hadapan rakan.
Rasa malu adalah sempadan yang baik dalam membina karakter persahabatan yang baik. Rasa malu secara langsung menggambarkan rasa hormat terhadap perasaan orang lain yang melihatnya.

Nabi s.a.w. menyebutkan: Malu itu sebahagian daripada iman. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

* Berilah nasihat baik yang datang dari hati.

Nasihat timbul atas rasa sukakan kebaikan dan kasih sayang terhadap seseorang. Elakkan nasihat-nasihat yang bertujuan menegur untuk memalukannya atau menunjukkan kepandaian diri.

Nasihat yang baik adalah satu doa untuk kebaikan terhadap sahabat. Sampaikan secara peribadi bukan dalam keadaan terbuka.

Nasihat yang baik datang dari hati yang sering dekat kepada Tuhan, Kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (daripada syirik dan penyakit munafik). (Syu'ara: 89).
28 Singhakum 2009

No comments:

Post a Comment