Monday, August 3, 2009

Dari jendela cinta

Seperti mana sebuah rumah punya tiang serinya, tiang seri cinta adalah agama. Kata Imam Nawawi "Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, maka hilanglah cintaku padamu".

Tuhan mengajar kita cara bercinta, melalui sekian banyaknya ayat-ayat cintaNya di dalam Al-Quran. Dan ingatlah..

“..orang-orang yang akrab saling kasih mengasihi, pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa...” –surah zukhruf ayat 67.

Kata Habiburrahman El-Shirazy, inilah ayat-ayat cinta dari sekian banyaknya ayat-ayat cinta yang wujud di dunia ini. Cintailah siapa pun, asalkan wadah cintamu adalah Allah.

tatkala rindu datang bertandang,

ku gamit Al-quran di sisi,

kulagukan alunan ayat-ayat cinta,

bersama kudus doa untuk seorang kekasih.

Seorang kekasih yang mencintai kekasihnya tidak mungkin mahu merosakkan kekasih yang dicintainya.

Biarkan cinta ini terus bersemi,

bersama iman di hati,

Biarkan cinta ini terus bersemi,

sehingga di syurga menanti ,

Duhai kekasih hati,

Jangan dikau tunggu daku di neraka ilahi,

kerana di situ tiada cinta yang boleh didefinisi.

Nauzubillahiminzalik. Semoga Tuhan menjauhkan kita dari cinta yang boleh menghumban kita ke nerakaNya.

Kata Attirmidzi "Tinggalkan apa yang meragukanmu, kerjakanlah apa yang tidak meragukanmu, sesungguhnya kebenaran membawa ketenangan, dan dusta itu menimbulkan keraguan"

Jika hati merasa sangsi kerana cinta yang salah didefinisi, pulanglah dan kembali kepada pemilik segala cinta. Tanyalah hati, kerana sesungguhnya hati merasa tenang dengan kebaikan, tetapi merasa gelisah dengan kejahatan.

Orang yang mempunyai cinta dalam hatinya, akan melahirkan cinta di sekelilingnya. Belajarlah mencintai, dari kalam ilahi, dari orang-orang lama, hatta dari buku sekalipun. Lihatlah cinta dengan mata hati, bukan dengan nafsu haiwani.

Doa Nabi Ibrahim kepada Ilahi:

Ya Allah, kami mohon akan cintaMu,

Kami mohon cinta pada orang yang mencintaiMu,

Dan kami mohon cinta

pada amalan yang akan mendekatkan kami pada cintaMu.

Tuhan ku!, andai nanti Kau takdirkan seorang Hawa untukku, katakan padanya aku tak punya apa-apa selain cinta. Kerana cinta aku akan setia, kerana cinta aku akan selalu di sisinya, kerana cinta aku akan mengasihinya Lillah.

No comments:

Post a Comment