Saturday, April 3, 2010

Kisah teladan..pemuda ego

   Dalam satu masyarakat ikan yang berkoloni di dalam air. Ada seekor pemuda ikan yang ego. Pemuda ikan ini selalu mengengkari seruan ikan-ikan yang lebih berpengalaman dan lebih tua atau lebih dulu makan garam laut daripadanya. Ikan-ikan tua selalu menasihatkan masyarakat tentang makanan yang tergantung di tali, dan janganlah sesekali mereka cuba memakannya walaupun rasanya mungkin sedap dan kelihatan sungguh lazat. Itu adalah tipu daya. Sekiranya kamu makan juga kamu akan dibawa keluar dari alam ini. Di sana kamu tidak boleh bernafas kerana tiada air. Kamu akan dipotong-potong dan dimasukkan kedalam minyak yang panas dan akhirnya kamu akan di makan oleh makhluk ghaib bernama manusia yang kejam itu. Pemuda ikan yang ego itu tidak mempercayai langsung cerita ini. Katanya tak logik adanya alam seperti itu. Itu adalah karut dan rekaan ikan-ikan tua. Mana ada makhluk ghaib seperti itu, ia tak logik begitu lah fikiran pemuda yang menganggap dirinya lebih bijak dari ikan-ikan lain.

   Pada suatu hari sedang pemuda ikan itu keluar mencari makan maka terjumpalah cacing yang tergantung dengan tali. '' Agaknya inilah yang diberitahu oleh ikan-ikan tua tu, nampak macam sedap,lazat berkrim dan tidak seperti merbahayakan. Mungkin kalau aku tak makan, mesti si tua itu pula yang memakannya. Aah baik aku makan.. makanan ni kan logik..he he.'' lalu pemuda ikan itu terus membaham cacing itu tiba-tiba dia tercekik sesuatu dan berusaha mengeluarkannya namun gagal. Rasa kesal menyelubunginya '' kalaulah aku mendengar nasihat mereka, tidaklah jadi begini''. Pemuda ikan itu menarik tali itu dengan harapan ia akan putus. Tetapi sebaliknya sesuatu telah menarik tali itu keatas permukaan air dan terus mengheret pemuda ikan itu keluar dari air. Maka nampaklah dia alam lain tanpa air dan nafasnya terasa sesak. Rupa-rupanya benar apa yang dikatakan oleh ikan tua, kini yakinlah dia tentang kebenaran itu, kalaulah dia boleh melepaskan diri dan kembali ke dalam laut dia akan memberi peringatan kepada ikan-ikan lain supaya ikutlah cakap ikan yang lebih tua kerana mereka lebih ilmu dan pengalaman. Sekian ye, anak-anak.

No comments:

Post a Comment