Wednesday, March 3, 2010

Sematkan nilai cinta melalui majlis maulidurrasul



Oleh – A Razak Muthalib

Menyentuh mengenai Maulidur Rasul, pastinya peristiwa agung kelahiran Nabi Muhammad SAW akan menjadi ingatan di setiap sanubari seorang mukmin. Peristiwa ini merupakan noktah permulaan dalam sejarah Islam. Di sinilah bermulanya sinar cahaya Islam yang memadam api-api jahiliah dan ia terus menyinari seluruh alam hingga ke hari ini.

Tidak dapat dinafikan nikmat Islam yang dikecapi sekarang adalah hasil perjuangan gigih penuh cabaran dan oleh Rasulullah SAW dan golongan terdahulu. Jasa besar insan mulia ini tidak sepatutnya dilupakan begitu sahaja. Apatah lagi mereka yang mengaku sebagai umat Muhammad SAW. Maka pelbagai cara dilakukan dan diamalkan dalam usaha untuk menterjemahkan rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah, terutamanya sempena dengan bulan kelahiran Baginda ini.

Tanggal 12 Rabiulawal, pelbagai sambutan dan perayaan diadakan demi mengingati kembali tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW. Di negara kita pula, diadakan majlis secara besar-besaran, walaupun dari segi faktanya, terdapat percanggahan pendapat di kalangan sarjana Islam tentang tarikh tepat kelahiran Baginda.

Pendapat yang popular dan tersebar di kalangan kita ialah pada 12 Rabiulawal. Pendapat lain menyatakan tarikh tepat bagi kelahiran Baginda ialah pada 9 Rabiulawal Tahun Gajah, hari Isnin dan bersamaan dengan 20 atau 22 April 571 Masihi. (Lihat: al-Mubarakfuri, Safiy al-Rahman, al-Rahiq al-Makhtum (al-Mansurah: Dar al-wafa’, cet. 2, 2000), hal. 71).
Tanda kasih kepada Rasulullah

Namun begitu, perbezaan tarikh ini bukanlah menjadi persoalan utama. Apa yang penting ialah masing-masing telah berusaha untuk menunjukkan rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW dan ia diterjemahkan dengan cara mengadakan sambutan ini. Masing-masing melakukannya tidak dengan tujuan lain kecuali untuk kebaikan dan mendapat balasan daripada Allah SWT.

Sesungguhnya perasaan kasih dan sayang kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW wujud dalam sanubari setiap individu Muslim yang sempurna imannya. Namun, adakah ia sama dengan perasaan kasih dan sayang seperti telah ditunjukkan para sahabat Baginda? Tidak syak lagi, para sahabat adalah golongan yang paling mencintai dan menyayangi Baginda Rasul. Kecintaan dan kasih sayang mereka kepada Rasulullah telah dibuktikan. Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi mentaati Rasulullah. Senang dan duka dikongsi bersama, dugaan dan rintangan diharungi semua. Harta dan nyawa menjadi infaq utama. Golongan inilah yang telah diberi pengiktirafan oleh Rasulullah sebagai golongan terbaik.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang berada di kurunku (para sahabat), kemudian yang menyusuli mereka (para tabiin), kemudian yang menyusuli mereka (tabi’ al-tabiin)” (Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Syahadat, hadis no. 2652)

Golongan paling mengasihi dan menyayangi Rasulullah ini juga telah menunjukkan contoh teladan kepada kita bagaimana mereka menterjemahkan kasih sayang itu, sama ada ketika hayat Rasulullah mahu pun setelah baginda wafat.

Justeru, adalah menjadi tugas kita untuk menyemak kembali adakah amalan kita lakukan sekarang ini dengan tujuan menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah SAW bertepatan seperti ditunjukkan para sahabat Baginda? Sekiranya ia bertepatan, maka teruskanlah dan sebarkanlah. Tetapi jika ia sebaliknya, maka adalah lebih baik dan utama untuk dikaji dan diberi nilai tambah. Jadikanlah para sahabat Baginda ini sebagai golongan teladan. Ia akan pasti membawa kita ke jalan kebenaran.

Cinta dan ikuti sunnah

Dua perkara asas yang mesti diberi perhatian dalam membicarakan hubungan Muslim terhadap Rasulullah SAW adalah al-mahabbah (cinta) dan al-ittiba’ (ikut sunnah). Kedua-dua elemen ini mesti wujud secara beriringan dalam diri setiap Muslim. Tidak cukup untuk seseorang menyatakan perasaan cintanya terhadap Rasulullah SAW tanpa mengikuti sunnah Baginda. Begitu juga sebaliknya.

Sejarah Islam telah membuktikan kewujudan dua golongan ini. Pertama, Abu Talib yang merupakan bapa saudara Rasulullah, adalah antara mereka yang paling mencintai Nabi Muhammad SAW. Abu Talib pernah memelihara Nabi dan dialah antara individu penting yang mempertahankan Baginda daripada ancaman kafir Quraisy semasa menyebarkan dakwah Islam. Begitu tinggi kasih sayang Abu Talib kepada anak saudaranya, namun tidak diiringi dengan mengikuti ajaran yang dibawa. Maka natijahnya, Abu Talib tetap termasuk dalam golongan mereka yang tidak beriman.

Kedua: Abdullah bin Ubai bin Salul yang juga ketua golongan munafik. Secara zahir, dia adalah pengikut Nabi Muhammad. Namun, ikutannya itu tidak disertai dengan perasaan kasih dan sayang kepada Baginda. Sebaliknya mempunyai muslihat jahat dalam menghancurkan dakwah Nabi. Tindakan munafik ini adalah natijah daripada tiadanya perasaan kasih sayang dalam diri terhadap Rasulullah SAW.

Justeru, al-mahabbah dan al-ittiba’ ini mesti digandingkan dan wujud selari demi memastikan kesempurnaan iman kita terhadap Rasulullah SAW. Setiap individu Muslim haruslah mengkoreksi dirinya sejauh mana perasaan cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW. Janganlah perasaan cinta kepada kebesaran dunia, kaum keluarga, harta benda, pangkat dan kedudukan mengatasi perasaan cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.

Seterusnya, cinta ini perlulah diiringi dengan menuruti jejak langkah baginda dan mengamalkan sunnah-sunnah yang telah ditinggalkan kepada kita. Semoga dengan perasaan cinta dan ikutan kita kepada Rasulullah SAW ini menjadi hujah untuk kita bersama-sama dengan Baginda di syurga kelak. Oleh itu, cinta kepada Rasul ini, bukan sekadar perarakan.

No comments:

Post a Comment