Sunday, August 31, 2014



HIJRAH SEBAGAI IKTIBAR
 
 
Mengimbau kembali lipatan sejarah 1424 tahun yang lalu, Allah swt telah mentakdirkan satu peristiwa hijrah yang besar dan teragung yang pernah berlaku dalam sejarah Islam. Pada tanggal 1 Muharram setiap tahun, umat Islam seluruh dunia akan memperingati dan meraikan peristiwa hijrah sebagai tanda permulaan tahun Islam. Namun seramai mana umat Islam generasi kini dan akan datang dapat mengambil iktibar berdasarkan peristiwa hijrah tersebut sebagai panduan meniti cabaran dunia yang semakin global dari segi kemanusiaan, peradaban akhlak, kegawatan ekonomi mahupun pergolakan dunia yang semakin menuju kehancuran akibat peperangan yang berlaku.
 
HIJRAH – berasal dari bahasa Arab HAJARA yang secara generik bermaksud pindah, keluar, migrasi atau meninggalkan  satu daerah ke satu daerah yang lain atau berubah dari satu keadaan ke satu keadaan yang lain.  Ia juga difahami sebagai transformasi dan reformasi kualiti kehidupan manusia ke arah formasi terbuka, adil dan demokrasi. Ini dirujuk dari Hans Welr dalam A Dictionary of Modern Written Arabic, 1980.
 
Menurut Kamus Bahasa Melayu yang dimanifestasikan oleh Arbak Othman, Hijrah membawa maksud “perpindahan  Nabi Muhammad saw dan sahabat dari kota Mekah al Mukarramah  ke kota Madinah al Munawwarah.
 
IKTIBAR – Menurut Kamus Dewan Edisi Ke tiga 1997, bermaksud pengajaran, contoh, ibarat dan teladan.
 
CABARAN – Menurut Times Kamus Dwibahasa, suntingan oleh Drs. Awang Sudjai Khairul, Edisi Pertama, 1996, bermaksud takut, ejekan atau celaan yang membawa perihal menguji kewibawaan seseorang.
 
Hijrah juga boleh difahamkan sebagai meninggalkan sesuatu yang dilarang.  Diriwayatkan daripada  Abdullah bin Habsyi, Rasulullah saw bersabda   yang bermaksud “Orang-orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah. Ini membuktikan bahawa hijrah adalah satu jihad bukannya “pelarian” dan “arbitrasi” seperti yang ditafsirkan oleh sesetengah orientalis barat yang sengaja mahu menenggelamkan pengertian suci hijrah itu sendiri.
 
 Sesungguhnya hijrah baginda Rasul saw dan para sahabat adalah satu peristiwa sejarah yang amat penting dalam perkembangan dan penyebaran Islam dipelusuk dunia kerana penghijrahan itu,  memberi ruang yang lebih luas kepada pelaksanaan ajaran Islam baik dari aspek aqidah, syariat dan akhlak serta kaitannya kepada hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia dan hubungan dengan alam sekitar.
 
 Hijrah merupakan langkah penting melalui perancangan dan strategi yang cukup teratur untuk mengubah wajah dan perwatakan dunia serta menentukan arah masa depan sejarah manusia ke arah kesejahteraan, kebahagiaan, kemajuan serta kejayaan pembangunan manusia.
 
 Peristiwa hijrah bukan sahaja meninggalkan sejarah untuk dikenang dan dirayakan, malah membawa iktibar dan pengajaran yang cukup bermakna dalam arus cabaran kehidupan masa kini. Penghijrahan baginda Rasul saw itu sendiri adalah awal dari tekad perubahan atau dalam istilah apapun samada reformasi, tajdid, islah dan sebagainya dari situasi yang tidak menguntungkan kepada situasi yang lebih dinamik dan berkesan.
 
 Cabaran masa kini yang harus diambil iktibar dan rujukan oleh seluruh umat Islam yang terhasil dari penghijrahan baginda Rasul saw dan para sahabat boleh diklasifikasikan sebagai berikut :
 
 
Pertama :  CABARAN HIJRAH AQADIYYAH/PEGANGAN
 
 Iaitu tekad dan komitmen penuh untuk melakukan hijrah dari berbagai tuhan dalam hidup kita seperti mengagungkan manusia seperti artis atau tokoh, harta, kedudukan, persepsi dan sebagainya daripada mengagungkan Allah swt. Betapa kekaguman kita terhadap seseorang artis contohnya dimana sebahagian sikap umat Islam mengidolasasi atau memberhalakan mereka dengan mencontohi cara hidup yang jelas bertentangan dengan aqidah tanpa memikirkan kesan sebaliknya kepada generasi manusia akan datang, sesudah perpindahan atau hijrah yang positif ke arah yang lebih positif.
 
Jelas jika kita renung kembali penghijrahan Baginda Rasul saw ke Madinah dimana setiap muslim dididik supaya patuh,  menyerah dan menyembah Allah serta taat kepada ajaran Islam yang didasarkan kepada panduan Al-Quran dan As-Sunnah. Berasaskan kekuatan aqidah tersebut terbinanya sebuah masyarakat Islam yang kukuh dalam mentaati perintah dan larangan Allah.
 
 
Kedua : CABARAN HIJRAH TA’ABUDIYYAH/PENGIBADATAN
 Iaitu tekad dan komitmen penuh dari umat Islam untuk melakukan perubahan konsepsi terhadap ibadah dalam Islam. Selama ini umat Islam masih memahami makna ibadah sebagai kegiatan ritual yang terlepas dari masalah sosial dalam kehidupannya. Konsekwensinya, terjadi personaliti yang berlainan atau sebaliknya di mana dalam satu keadaan merasa menjadi hamba yang soleh namun alam keadaan yang lain tanpa disedari menjadi hamba yang muflis dalam berbagai bentuk kehidupan.
 
 Pemahaman terhadap konsepsi ibadah di atas sudah masanya direformasikan atau diubah supaya umat Islam tidak lagi kehilangan banyak kunci-kunci syurga dalam bentuk amal kemasyarakatan, pengelolaaan bangsa dan negara, pentadbiran ekonomi dan kemakmuran akhlak. Sebab dengan menyedarkan umat Islam akan makna ibadah dalam proses amal ma’aruf, penegakan keadilan dan penanaman motivasi agar umat bangkit melakukan kewajiban dunia dan akhirat selaras dengan sabda baginda Rasul saw yang bermaksud :  “Beribadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati esoknya dan bekerjalah kamu seolah-olah kamu hidup selama-lamanya.”
 
 
Ketiga : CABARAN HIJRAH AKHLAQIYAH/TINGKAHLAKU
 Iaitu perubahan tingkahlaku dari dari segi lahir atau batin ke arah akhlak Islamik. Akhlak yang diajarkan oleh Islam sesungguhnya adalah akhlak manusia yang universal. Contohnya, ketika di musim haji, kita akan merasakan betapa “attitude” manusia akan beragam, termasuk yang melampaui batas sehingga melompat di atas kepala jemaah haji lain yang sedang duduk berzikir, sedangkan dalam hadis Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu duduk di antara dua orang tanpa izin keduanya, lalu bagaimana melompati kepala orang ?
 
 Cabaran akhlak yang paling ketara masa kini ialah krisis identiti diri dalam semua peringkat umur. Di mana kita sering dilaporkan tentang keruntukan akhlak remaja, sumbang mahram oleh golongan dewasa dalam keluarga, kekeruhan hubungan antara jiran tetangga, masyarakat atau  hubungan diplomatik antara negara . Jelas kekurangan peratus nilai murni akhlak semakin susut selari dengan perkembangan global dunia tanpa sempandan yang bersumberkan teknologi tinggi yang boleh disalurkan dari rumah ke rumah dengan hanya memetik butang dan peristiwa negatif terpampang jelas di depan mata jika tidak dibendung secara sihat.
 
Pelbagai pihak dalam masyarakat negara atau dunia harus bergabung dan bersatu untuk membendung kemusnahan akhlak manusia yang semakin merencam kedamaian sejagat sebagaimana firman Allah  dalam surah Ali Imran, ayat 104 yang kira-kira bermaksud :”Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari kemungkaran. Mereka inilah orang yang beruntung.”
 
Kegawatan akhlak manusia ini adalah bertentangan dengan perutusan baginda Rasul saw ke dunia ini sebagai pembawa murni akhlak manusia. Ini didasarkan kepada sabda Rasulullah saw yang bermaksud : “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”
 
 
Keempat : CABARAN HIJRAH USRAWIYYAH/KEKELUARGAAN
 Iaitu tekad dan komitmen baru untuk melakukan perubahan dalam pola pembangunan keluarga. Keluarga disebutkan secara khusus kerana keluarga merupakan institusi terpenting untuk melakukan perubahan-perubahan dalam kehidupan sosial kemasyarakatan. Gagalnya institusi keluarga merupakan kegagalan dalam institusi kemasyarakatan yang lebih luas.
 Kalau selama ini, sebahagian umat Islam terlalu “materialistic minded” dalam membangun kehidupan keluarganya, mungkin sudah masanya dilakukan perubahan yang lebih seimbang antara material dan spritual. Jika umat Islam terlalu termotivasi untuk mendidik anak ke peringkat tertinggi dalam bidang akademik, kini masanya keseimbangan pendidikan tertinggi itu diselaraskan dengan pendidikan rohani.  Pengisian hijrah ke arah kehidupan keluarga Islamik yang sebelumnya dinodai oleh kekaburan dunia akan merubah konsepsi masyarakat bukan Islam kepada cara hidup Islam yang sebenar berlandaskan aqidah, ibadah, akhlak dan perundangan.
 
 
Kelima: CABARAN HIJRAH ‘AQLIYYAH TSAQAAFIYYAH/  MEMBUDAYAKAN AQAL BUDI
  Iaitu tekad untuk memurnikan sistem pemikiran dan persepsi seorang muslim kepada penggunaan akal secara maksimum melalui kemampuan intelektual dalam membezakan perkara baik dan buruk, halal atau haram dan sebagainya.  Penyalahgunaan akal kepada sesuatu yang tidak boleh dimanfaatkan akan menghadirkan implikasi yang besar kepada pandangan umum terhadap sesuatu perkara yang akhirnya diikuti tanpa dirujuk secara waras. Contohnya melihat cara hidup barat dalam pergaulan dan berpakaian serta cenderung untuk mengikutinya tanpa memikirkan kesan disebalik cara tersebut yang boleh meruntuhkan akhlak dan tanpa disedari terjebak dalam sebuah penjajahan baru yang dipanggil “intellectual colonization” – penjajahan intelektual.
 
 Begitulah antara cabaran hijrah daripada banyak cabaran lain yang tidak dapat diungkapkan di sini yang perlu diberi perhatian agar iktibar hijrah baginda Rasul saw yang lalu dapat digunakan untuk memimpin generasi manusia kini dan akan datang supaya tidak lari lebih jauh dari ajaran Islam sebenar seimbang dengan kemodenan cara hidup yang sedia ada.
Berdasarkan isian di atas, dapat diambil beberapa kesimpulan :
Pertama : Jika kita benar-benar mengimani wahyu Allah, tentu kita mempunyai sikap optimis  terhadap perubahan kehidupan dari yang buruk kepada yang baik.
Kedua : Cabaran hidup masa kini dapat meningkatkan kesedaran dan kepekaan terhadap nasib umat Islam akan datang supaya lebih terpimpin ke jalan yang benar dan diredhai Allah.
Ketiga : Umat Islam dapat mempelajari sejarah perjuangan baginda Rasul saw dan para sahabat dalam membangunkan sejarah gemilang peradaban manusia, politik pemerintahan berasaskan syariat.
Keempat : Mempersiapkan generasi Islam kini agar lebih memahami  dan menghayati akhlak Islamiyyah yang tulis dalam pembentukan tingkahlaku peradaban manusia.
 

No comments:

Post a Comment