Para remaja atau muda-mudi kita adalah warisan masa hadapan. Mereka adalah aset yang berharga agar agama Islam tetap dihayati dan dipraktikkan oleh masyarakat Islam masa hadapan. Mereka adalah harapan masyarakat dan. Adalah penting bagi kita memastikan agar mereka bersedia untuk membawa obor Agama kita pada masa hadapan. Mereka mestilah menjadi orang-orang yang boleh diharapkan, bukan sahaja untuk membina masyarakat, tetapi yang lebih penting adalah agar Islam akan terus menjadi panduan masyarakat kita.
Kita sekarang sudah mempunyai contoh-contoh yang baik yang boleh kita ambil sebagai tauladan. Kita mempunyai segolongan muda-mudi Islam yang boleh menjadi kebanggaan dan harapan masyarakat kita. Dan sekarang kita melihat semakin ramai anak muda kita yang berpelajaran tinggi mempunyai kesedaran dan penghayatan terhadap agama Islam. Mereka ingin mempraktikkan ugama Islam dalam semua aspek kehidupan mereka. Ini harus dibanggakan dan disemai agar lebih ramai remaja dan golongan muda menjadikan Islam teras kehidupan mereka.
Akan
tetapi masih ramai lagi di kalangan remaja kita yang terbawa-bawa
dengan budaya yang bertentangan dengan nilai-nilai murni Islam. Sebagai
contoh, kita sering mendengar terdapat sebilangan muda-mudi melahirkan
anak luar nikah dan mencampakkan bayi di tempat pembuangan sampah, sementara sebahagian lagi menggugurkan kandungan mereka. Ini tidak termasuk muda-mudi yang ketagih arak dan alkohol.
· Adakah ini yang kita inginkan dalam masyarakat Islam kita?
· Adakah mereka ini yang diharapkan sebagai contoh khaira ummah atau sebaik-baik umat?
Semakin ramai remaja
kita yang tanpa segan silu membuka aurat mereka. Malah ada yang lebih
berani lagi. Mereka berdua-duaan dan berkelakuan tidak senonoh di
khalayak ramai. Ini bertentangan dengan ajaran Islam.
· Mengapakah mereka berkelakuan demikian?
Banyak faktor yang menyumbangkan peranannya. Tetapi yang paling ketara adalah faktor pendedahan terhadap budaya-budaya asing. Kalau zaman datuk nenek kita, cuma ada radio, zaman ibu bapa kita pula ada televisyen. Sekarang ini kita menghadapi pula teknologi internet dan televisyen kabel
yang mana segala bentuk informasi dapat diraih hanya dengan menekan
butang sahaja. Memang tidak dinafikan bahawa internet dan televisyen
kabel membawa kebaikan. Dengannya kita lebih tahu perkembangan dunia dan ilmu-ilmu sains terkini.
Masyarakat
kita pula tidak lagi seperti katak di bawah tempurung. Berbagai-bagai
faedah yang boleh diraih. Akan tetapi internet dan televisyen kabel juga
membawa bersama unsur-unsur yang bertentangan dengan nilai Islam. Dan
jika kita tidak dibentengi dan diperkuatkan dengan ugama, maka kita juga
boleh terpedaya dengan unsur-unsur negatif tersebut. Setiap kali kita
menonton filem barat, akan dipaparkan adegan-adegan yang tidak sesuai
dengan Islam. Setiap kali kita menonton televisyen kita akan mendengar
perkataan-perkataan lucah. Setiap kali kita menonton televisyen, kita
akan disajikan dengan cara kehidupan yang bertentangan dengan Islam.
· Bayangkanlah!
Seorang remaja yang masih memerlukan kepimpinan dalam kehidupan mereka,
disajikan setiap hari dengan budaya hidup yang bertentangan dengan
Islam, tidakkah ia akan mudah terpengaruh?
· Di
internet pula, lelaman lucah dengan mudah diperolehi. Kalau inilah
sajian yang tersaji kepada anak-anak Islam kita semasa mereka sedang
membesar, maka tidak hairanlah akhirnya nilai-nilai Islam menjadi asing
kepada mereka. Dalam kesedaran ini, siapakah yang harus dipersalahkan?
Setiap
ibu-bapa bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka dengan nilai-nilai
Islam. Anak-anak adalah amanah Allah. Dan Allah akan menyoal kita di
akhirat kelak tentang didikan terhadap anak-anak kita tersebut.
· Berapa ramai ibu-bapa yang akan diseret ke neraka atas perbuatan anak-anak mereka?
· Adakah
kita sudah memainkan peranan yang secukupnya sebagai seorang bapa,
sebagai seorang ibu, sebagai seorang abang atau kakak?
· Adakah
kita sudah memainkan peranan yang secukupnya dalam mendidik dan
menanamkan keimanan dalam jiwa anak-anak Islam kita sehingga mereka
tidak mudah terpedaya?
· Sudahkah anak-anak kita diberi pengajaran Islam yang secukupnya untuk mereka menghadapi dunia sekarang yang penuh cabaran ini?
Kita tidak boleh menyalahkan televisyen kabel atau
internet atas keruntuhan akhlak para remaja dan muda-mudi zaman
sekarang ini. Sebaliknya kita perlu merenung kembali. Anak-anak secara
semulajadi memandang ibu-bapa mereka dahulu sebagai panduan hidup
mereka.
Sekiranya
ibu-bapa tidak memberikan contoh yang baik, sekiranya ibu-bapa sendiri
terpengaruh dengan unsur-unsur negatif Barat, maka tidak hairanlah jika
anak-anak mereka juga berkelakukan sedemikian. Bak kata pepatah “bapak
borek anak rintik.” Akan tetapi kalau ibu-bapa menunjukkan contoh yang
baik terhadap anak-anak mereka, menjadikan keluarga mereka sebagai
keluarga Islami, yang menerapkan nilai-nilai Islam dalam keluarga
mereka, maka percayalah, anak-anak mereka juga akan menjadikan Islam
sebagai panduan kehidupan mereka.
Kita berserukepada para remaja dan belia , agar menyedari bahawa mereka
adalah harapan keluarga dan negara. Jika mereka menjalankan
tanggungjawab sebagai belia Islam yang dinamik, maka masyarakat kita dan
negara akan menjadi lebih maju lagi. Akan tetapi jika mereka lebih
mementingkan keseronokan dan hiburan sehingga lalai dari tanggungjawab,
maka masyarakat dan negara kita akan menjadi lemah.
Sebagai belia dan remaja Muslim, kita mempunyai empat tanggung-jawab:
1. Kita
mestilah sedar bahawa waktu remaja bukanlah untuk berseronok
semata-mata, tetapi waktu tersebut mestilah diisi dengan mencari ilmu
pengetahuan dan menghayati ugama Islam. Jadikan waktu tersebut sebagai
persiapan untuk menghadapi masa hadapan apabila kita semakin tua kelak.
2. Kita
tidak harus mudah terpedaya dengan unsur-unsur negatif. Ambillah budaya
yang baik dari sesiapun dalam mencari dan meningkatkan ilmu. Tetapi
kekalkan akhlak dan cara kehidupan orang Islam. Kita akan menjadi orang
yang paling disegani dan dihormati kelak. Kita akan berjaya di dunia dan
di akhirat, insya Allah.
3. Sebagai
remaja dan belia, janganlah kita menghabiskan masa berkhayal dengan
perasaan cinta dan mencari pasangan. Ia tidak membawa banyak hasil.
Malah masa kita yang berharga yang sepatutnya dihabiskan dengan mencari
ilmu atau menyumbang kepada masyarakat.
4. Hormatilah
ibu bapa kita, walaupun pada pandangan kita mereka tidak memahami jiwa
dan perasaan kita. Sesungguhnya, ibu bapa adalah pintu syurga.
Sekiranya
kita tidak bersetuju dengan mereka maka katakanlah dengan nada yang
lembut dan sopan, bukan dengan membentak dan menunjukkan marah.
Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Isra’, ayat 23 ertinya:
“Dan Tuhanmu telah menentukan agar kamu jangan menyembah melainkan Allah dan hendaklah kamu berbuat baik dengan mereka. Jika salah seorang dari mereka atau kedua-dua mereka telah mencapai umur tua, maka janganlah berkata kasar kepada mereka, akan tetapi ucapkan kepada mereka dengan ucapan yang baik dan lembut.”
|
|
No comments:
Post a Comment